Perkara Perkara Yang Dilarang Kepada Meraka Yang Hendak Berkorban

Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban).” (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2. Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain.” (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3. Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: “Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.” (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4. Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah bagi peserta korban sehingga ibadat korban dilaksanakan.

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

[WD_FB id=”1″] [WD_FB id=”2″]

Manfaat Berkasih Sayang Kerana Allah Serta Balasan Di Akhirat Nanti

Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak: “Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku.” (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap kita akan bertemu Allah pada hari akhirat untuk menerima balasan di atas segala amal yang dilakukan semasa di dunia.

2. Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan dari Allah.

3. Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.

Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

[WD_FB id=”1″]

Apakah amalan yang disukai Allah pada Hari Raya Aidil Adha?

Amal Yang Yang Disukai Allah Pada Aidil Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

  1. Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Aidil Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban
  2. Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia
  3. Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi.
  4. Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

Ayuh yang masih belum menempah bahagian untuk korban. Masih ada kesempatan untuk turut menyertainya. Gaji pun dah masuk untuk bulan ni. Jika kita terlepas peluang untuk berkorban pada tahun ini, tak pasti tahun depan kita ada lagi atau tidak.

Semoga kita bersifat RAHMAH dengan mengikhlaskan ibadah korban serta melaksanakan dengan sempurna. Moga Allah menerima amal ibadah korban kita.

SemarakUkhuwahMemacuPerubahan

MalaysiaMenujuNegaraRahmah

PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

Perumpamaan untuk orang berilmu

Perumpamaan Orang Berilmu

عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ

Dari Abu Musa dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutusku untuk menyampaikannya adalah seperti hujan lebat yang jatuh ketanah. Diantara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air (subur) sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput yang banyak. Dan ada tanah yang keras lalu menahan air (tergenang) sehingga dapat diminum oleh manusia, memberi minum haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. Dan ada tanah yang permukaannya yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Perumpamaan itu adalah seperti orang yang belajar agama yang faham dan dapat memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan mengajarkannya. Begitu jugalah perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya”. (HR Bukhari No: 77). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

  1. Islam menggesa umatnya menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim lelaki dan wanita.
  2. Ilmu sangat penting dalam kehidupan seperti air hujan yang membasahi bumi. Tanpa air kehidupan akan menjadi sukar dan terjejas.
  3. Ilmu menjadi alat untuk pembangunan peribadi, keluarga, masyarakat dan Negara
  4. Ilmu pengetahuan perlu disertai dengan petunjuk hidayah Allah. Dengannya manusia akan terdorong melakukan perkara-perkara bermanfaat dan bencikan perkara-perkara yang membawa mudarat.
  5. Ada orang yang mudah mendapat ilmu, mengamalkan ilmu serta menggunakan ilmu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Orang seperti ini seperti bumi yang subur, menyerap air yang turun dan menumbuhkan tanaman untuk manafaat orang lain.
  6. Ada orang yang semasa proses pembelajaran tidak mampu menyerapkan atau menyampaikan ilmu kepada orang lain hanya untuk diri dan ahli keluarganya. Ia tetap bermanfaat dan tidak memudaratkan orang lain.
  7. Ada juga golongan orang yang menuntut ilmu tetapi hanya dapat pahala belajar kerana tidak mampu menerima ilmu daripada proses pembelajaran tersebut dan tidak pula mampu untuk menyampaikan kepada orang lain di atas kelemahan dirinya.

Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan

Malaysia Menuju Negara Rahmah

Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

Mahu didampingi malaikat?

Penuntut Ilmu Didampingi Malaikat

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Dari Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan.” (HR Ibnu Majah No: 222) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan ke atas setiap Muslim

2. Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.

3. Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia. Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Dari Ummu Salamah berkata, “Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Sahih

Marilah kita memulakan azam tahun baru 2019 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat, kita menjadi warganegara Malaysia yang “celik” “bijak” dan “cerdik” untuk menyumbang membangunkan Malaysia menjadi Negara Rahmah.

#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

[WD_FB id=”2″]


Jauhi Sifat Munafik

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ

Dari Abu Hurairah RA dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.”
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala’ bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim.” (HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.

2. Sifat munafik akan kekal walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3. Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi No: 2749).

4. “Bercakap” termasuk dalam bentuk penulisan dan di “forward” di FB, Whatsapp, Telegram. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan seorang yang ada tanda munafik.

5. “Amanah” adalah tanggungjawab kita. Peminpin perlu berlaku adil dalam kepimpinan. Pekerja di pejabat ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan culas atau curi tulang. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

6. Ruginya jika mengaku seorang Muslim, berpuasa dan solat namun menjadi orang munafik kerana memiliki sifat munafik.

Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri janji dan khianat.

RAMADAN MUBARAK MEMBINA GENERASI RAHMAH

#Semarak Ibadah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

[WD_FB id=”1″]

Tuntutan Bersalam

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Daripada Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam” (Muwatta No: 1685) Dar Ihya Ulum Arabiyyah. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Berjabat tangan akan melahirkan perasaan kasih, “mengeratkan” ukhuwah Islamiyah diantara sesama muslim

2. Berjabat tangan akan menghilangkan permusuhan dan kedengkian di dalam hati, menghilangkan rasa “al-ghil” (perasaan tidak suka)

3. Berusaha untuk memulai berjabat tangan terlebih dahulu ketika saling bertemu. Rasulullah SAW merupakan orang yang terlebih dahulu memulai berjabat tangan apabila bertemu sahabat

4. Bersalaman merupakan bentuk penghormatan, kita dianjurkan untuk membalas penghormatan dengan cara yang lebih baik daripada penghormatan yang dilakukan oleh saudara kita. Apabila saudara kita mengucapkan salam, maka hendaknya kita balas dengan salam serupa atau yang lebih baik (lebih sempurna) daripada salamnya, dan jika ia menjabat tangan, maka hendaknya kita membalasnya dengan jabatan tangan yang lebih erat dan lebih hangat kepadanya. Dalam sebuah riwayat disebutkan :

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ تَمَامِ التَّحِيَّةِ الْأَخْذُ بِالْيَدِ

Daripada Abdullah bin Masud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Diantara bentuk penghormatan yang paling sempurna adalah berjabat tangan. (Sunan Tirmizi No: 2730) Dar Kutub Ilmiyyah.

5. Saling memberi hadiah akan melahirkan perasaan kasih dan sayang sesama kita. Memberi duit raya kepada kanak-kanak akan melahirkan rasa kegembiraan dan kasih sayang.

6. Saling memberi hadiah menghilangkan perasaan dendam dan marah. Alangkah elok bagi yang muda menziarahi orang tua di musim perayaan dengan memberi hadiah kepada mereka sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kuih muih.

#FitrahLebaranMenyebarRahmah
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

Tuntutan Kepada Orang Beriman

Tuntutan Kepada Orang Beriman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari No: 5673) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

2. Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

3. Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di forward).

4. Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di forward, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri.

5. Muliakan tetamu dan sentiasa menyuburkan tali persaudaraan dan menyambungkan silaturahim.

Ambillah peluang sempena Syawal untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga dan sahabat handai melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jadikanlah tuturkata kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.

#FitrahLebaranMenyebarRahmah
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

Menjalinkan Ukhuwah

Semarak Ukhuwah Untuk Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, “Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; ‘Hendak pergi ke mana kamu? ‘ Orang itu menjawab; ‘Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.’ Malaikat itu terus bertanya kepadanya; ‘Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.’ Akhirnya malaikat itu berkata; ‘Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’ (HR Muslim No: 4656) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara tanda mengasihi saudara dan sahabat ialah berusaha menziarahi mereka dengan ikhlas.

2. Allah sentiasa mencintai kepada orang yang mencintai dan mengasihi orang lain kerana Allah.

3. Ziarah dan kunjungi saudara mara dan sahabat handai semata-mata kerana Allah untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah.

4. Marilah kita saling mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai khususnya di bulan Syawal. Tidak perlu kita menunggu rumah terbuka. Carilah ruang masa menziarahi saudara-mara, kerabat dan sahabat kita sebagai tanda kita mengasihi mereka.

5. Moga kecintaan dan kasih sayang kita kepada kerabat dan sahabat handai akan menjadikan kita dikasihi dan dirahmati Allah.

6. Semarakkan Silaturahim dan Ukhuwah Bagi Memacu Perubahan Masyarakat dan Negara ke arah Malaysia Yang Lebih Baik.

#FitrahLebaranMenyebarRahmah
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

Amalan Di Hari Raya

Amalan Di Hari Raya

عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Daripada Hafshah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, “Pada hari Raya Aidil kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak-anak gadis dari biliknya dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan laki-laki dan mengucapkan takbir mengikuti takbir laki-laki, dan berdoa mengikuti doanya laki-laki dengan mengharap barakah dan kesucian hari raya tersebut.” (Sahih Bukhari No: 298) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Hari Raya Aidil Fitri perlu disambut dengan kegembiraan bersama seluruh isi keluarga

2. Antara amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat pada pagi hari raya ialah bersama anak isteri (walaupun dalam haid) untuk sama-sama berada di tempat perhimpunan seluruh kaum muslimin.

3. Setiap lelaki dan wanita Islam diperintahkan bertakbir dan turut sama berdoa (walaupun dalam keadaan haid)

Antara amalan lain Rasulullah SAW di pagi hari raya

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلَالٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي الْمَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat dan tidak solat sebelum atau sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Maka para wanita memberikan sedekah hingga ada seorang wanita yang memberikan anting dan kalungnya.” (Sahih Bukhari No: 921). Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Saling bersedekah itu sebagai tanda keperihatinan terhadap orang yang kurang berada terutama ketika kita bergembira dengan pelbagai juadah raya. Teruskan sumbangan kita walaupun sebaik-sebaik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Dengan sedekah yang diberi akan menggembirakan orang lain. Termasuk pemberian duit raya kepada orang yang lemah dan kanak-kanak.

#FitrahLebaranMenyebarRahmah
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor