Perintah dan Larangan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak bertanya dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” (HR Bukhari No: 6777) Status: Hadits Sahih

Pengajaran:

1. Setiap muslim mestilah menjauhi semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2. Setiap Muslim mestilah melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan dengan semampu yang boleh. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara’ iaitu kerana uzur atau sakit

3. Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Dilaksanakan sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan.

4. Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah suruhan dan larangan para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

5. Larangan banyak bertanya dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah, atau pertanyaan berbentuk mempersendakan atau menghina serta masaalah yang tidak berlaku.

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Seorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

2. Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral.

3. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika membawa kepada dosa dan maksiat. Ia merupakan pertanda kelemahan iman.

4. Antara perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, menulis serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala. Termasuk juga menghabiskan masa bermain game, saja duduk di kedai kopi, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau suka menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif.

5. Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah pembangunan umat.

6. Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.

Larangan Berzina Membunuh dan Murtad

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ رَضِىَ الله عَنْه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: الثَّيْبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ

Daripada lbnu Mas’ud RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah (Tiada Tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah) kecuali disebabkan salah satu daripada tiga perkara; janda yang berzina, nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri daripada jamaah (murtad). (HR Bukhari No: 6484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah, itu bermakna terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Tidak boleh sesiapa menumpahkan darahnya termasuk dirinya sendiri.

2. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.

3. Tiga sebab yang membatalkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap darah, jiwa dan maruahnya iaitu apabila dia:

a. Berzina setelah berkahwin
b. Membunuh dengan sengaja tanpa hak
c. Murtad atau sengaja meninggalkan agama

4. Sesungguhnya agama yang disepakati adalah yang dipegang oleh jamaah kaum muslimin, maka wajib dijaga dan tidak boleh keluar darinya.

5. Islam mengajar betapa pentingnya menjaga kehormatan dan kesucian agama, diri, keluarga dan masyarakat.

Amalan Masuk Syurga dan Terhindar Neraka

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ أَعْمَلُهُ يُدْنِينِي مِنْ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُنِي مِنْ النَّارِ قَالَ تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ وَتَصِلُ ذَا رَحِمِكَ

Dari Abu Ayyub dia berkata, “Seorang laki-laki mendatangi Nabi SAW, seraya bertanya, ‘Tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan aku dari neraka? ‘ Baginda menjawab: ‘Kamu menyembah Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung silaturahim dengan keluarga.” (HR Muslim No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Amalan yang mendekatkan seseorang ke syurga dan menjauhkannya dari Neraka:

a. Beribadat kepada Allah

b. Tidak melakukan syirik

c. Mendirikan solat fardhu dan memeliharanya

d. Mengeluarkan zakat

e. Menyambung silaturahim dengan ahli keluarga

Berusahalah melakukan ibadat kerana Allah, menjauhi perbuatan syirik, menjaga solat waktu, menunaikan zakat serta menyambung silaturahim antara ahli keluarga. Moga kita dijauhkan dari api neraka dan masuk ke syurga.

Beradab Ketika Minum dan Kencing

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عن عبد الله بن أبي قتادة عن أبيه قال قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَتَنَفَّسْ فِي الْإِنَاءِ وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَإِذَا تَمَسَّحَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ

Daripada Abdullah bin Abi Qatadah dari ayahnya ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian minum, maka janganlah bernafas di tempat air minum tersebut, dan apabila salah seorang dari kalian kencing maka janganlah menyentuh kemaluannya dengan tangan kanan, namun apabila salah seorang dari kalian harus menyentuhnya, hendaknya tidak menyentuh dengan tangan kanannya.” (HR. Bukhari No: 5199) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang mendidik umatnya agar sentiasa berakhlak dan beradab mulia

2. Antara adab yang perlu dilakukan:

a. Tidak bernafas di dalam gelas atau cawan ketika minum

b. Elakkan memegang kemaluan dengan tangan kanan ketika membuang air kecil

c. Tidak beristinjak menggunakan tangan kanan

Semoga adab dan akhlak kita sentiasa terpelihara

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan dalam Ash-Shahihah no. 1332

Pengajaran:

1. Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan.

2. Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan.

3. Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya.

4. Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a. Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b. Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

c. Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan.

d. Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e. Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f. Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kita kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g. Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h. Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain.

Berusahalah menjadikan diri kita sebagai pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.