
Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada Semua Warga Malaysia khususnya kepada Penduduk Kampung Tanjung Adang
Raikan dengan yang tersayang dengan penuh hikmah dan berhati hati ketika memandu.
Pastikan keselamatan dan kesejahteraan diutamakan.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada Semua Warga Malaysia khususnya kepada Penduduk Kampung Tanjung Adang
Raikan dengan yang tersayang dengan penuh hikmah dan berhati hati ketika memandu.
Pastikan keselamatan dan kesejahteraan diutamakan.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ
Dari Abu Barzah Al Aslami ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya.” (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.
2. Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.
3. Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:
مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
“Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat.” (HR. Ibnu Majah)
4. Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.
5. Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩
Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)
Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم فقام رجل فوقع فيه رجل من بعده فقال النبي صلى الله عليه وسلم : تخلل فقال : ومما أتخلل ما أكلت لحما قال : إنك أكلت لحم أخيك.
Dari Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mengumpat adalah perbuatan yang dilarang oleh Islam.
2. Orang yang mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)
3. Ibn Kathir: Mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)
4. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut 6 keadaan mengumpat diharuskan oleh syarak:
a. Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c. Meminta fatwa
d. Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e. Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f. Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain
2. Sebagai orang Islam, perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:
a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain
b. Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi
3. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.
4. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat
5. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
6. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:
a. Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
b. Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”
JOM menjadi orang yang bersifat RAHMAH dengan memelihara hak saudara Islam kita yang lain.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
“Dari Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu dijemput ke majlis kenduri perkahwinan, maka hadirilah.” (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1- Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri kahwin apabila dijemput jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat.
Abu Hurairah mengatakan,
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –
Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177).
2- Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri kahwin:
a. Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b. Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c. Yang menjemput itu adalah Muslim
d. Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya
3- Haram menghadiri kenduri kahwin yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.
4- Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.
Tunaikan jemputan walimah jika tiada sebarang keuzuran syarie.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Abu Burdah bin Abu Musa bahwa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana ketika amalanya semasa bermukim dan dalam keadaan sihat.” (HR Ahmad No: 18848) Status: Isnad Tsiqah
Pengajaran:
1. Laksanakan amal ibadah setiap masa khususnya ketika kita sihat dan tidak bermusafir (bermukim).
2. Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal soleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. (contohnya semasa dia sihat, setiap magrib dia ke masjid dan mendengar kuliah – waktu dia sakit, tidak dapat menghadirinya – Malaikat tetap mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir)
3. Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Contohnya amalan hadir majlis ilmu dan puasa sunat. Ketika dia bermusafir, dia tidak hadir majlis ilmu, tidak berpuasa sunat. Dia turut mendapat pahala seolah-olah berada dalam majlis ilmu dan berpuasa sunat.
4. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
الْعَبْدَ إِذَا كَانَ عَلَى طَرِيقَةٍ حَسَنَةٍ مِنَ الْعِبَادَةِ ثُمَّ مَرِضَ قِيلَ لِلْمَلَكِ الْمُوَكَّلِ بِهِ اكْتُبْ لَهُ مِثْلَ عَمَلِهِ إِذَا كَانَ طَلِيقاً حَتَّى أُطْلِقَهُ أَوْ أَكْفِتَهُ إِلَىَّ
“Seorang hamba jika ia berada pada jalan yang baik dalam ibadah, kemudian ia sakit, maka dikatakan pada malaikat yang bertugas mencatat amalan, “Tulislah padanya sama seperti yang ia biasa amalkan (rutin) sampai Aku melepasnya atau sampai Aku mencabut nyawanya.” (HR. Ahmad, 2: 203. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth menyatakan bahwa hadis ini shahih, sedangkan sanad hadis ini hasan)
Marilah kita laksanakan amal soleh semasa kita sihat dan ketika kita tidak bermusafir dengan baik dan bersungguh. Moga Allah memberikan ganjaran yang sama walaupun kita tidak dapat laksanakan semasa kita sakit dan bermusafir.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ و قَالَ الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Dari Salman bin ‘Amir, sesungguhnya Nabi SAW, baginda bersabda: “Jika kalian berbuka maka berbukalah dengan buah kurma kerana buah kurma mengandungi keberkahan, jika kalian tidak mendapatinya, maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu suci.” Baginda juga bersabda: “Sedekah kepada orang miskin hanyalah sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat akan mendapatkan dua (pahala) iaitu pahala sedekah dan menyambung silaturahim. (HR Tirmizi No: 594) Status: Hadis Hassan
Pengajaran:
1. Jika kita berpuasa, sunat berbuka dengan kurma terlebih dahulu kerana pada buah korma ada keberkahan antaranya dari aspek kesihatan Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan glukosa sekitar 55% juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma juga mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.
2. Jika tiada kurma, berbukalah terlebih dahulu dengan air sebelum makan makanan lain.
3. Amalan bersedekah adalah dituntut kepada setiap Muslim khususnya bersedekah kepada kaum kerabat (saudara mara).
4. Sedekah kepada ahli keluarga akan mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.
5. Jangan sampai sedekah kita sia-sia. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:
وَقَالَ:”يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لا يَقْبَلُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَدَقَةً مِنْ رَجُلٍ وَلَهُ قَرَابَةٌ مُحْتَاجُونَ إِلَى صَدَقَتِهِ، وَيَصْرُفُهَا إِلَى غَيْرِهِمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ”
“Wahai umat Muhammad, demi Allah yang telah mengutusku dengan kebenaran, Allah tidak akan menerima sedekah seseorang yang mempunyai kerabat yang memerlukan bantuannya, sementara ia memberikan sedekah atau bantuan itu kepada orang lain. Dan demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamannya, Allah tidak akan memandangnya di hari kiamat nanti”. (HR. Thabrani No: 1252)
Eratkan perhubungan dengan kerabat terdekat melalui amalan menderma kepada kerabat (saudara mara terdekat) yang memerlukan.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Dari Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: ‘Dan bagimu kebaikan yang sama.’ (HR Muslim No: 4912) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.
2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.
3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan tidak akan tertolak. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:
دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ
“Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak” (HR Al-Bazzar: 500)
Marilah kita mendoakan sahabat kita dengan kebaikan. Moga malaikat juga mendoakan yang sama untuk kita.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari No: 52) Status: Hadits Sahih
Pengajaran:
1. Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.
2. Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.
3. Banyak melakukan syubhat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.
4. Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubhat . Pertanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubhat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.
5. Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.
6. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.
7. Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Dari Ibnu Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT. (HR Bukhari No:25) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Misi kedatangan Rasulullah SAW ialah menyebarkan risalah lslam sehingga tertegak aqidah lslam. Usaha dakwah perlu diteruskan oleh setiap Muslim kepada seluruh manusia.
2. Orang yang telah memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah, menjadi kewajipan mereka untuk mendirikan solat dan mengeluarkan zakat serta beriltizam dengan hak dan tanggungjawab seorang Muslim.
3. lslam menjamin hak pemeliharaan dan perlindungan darah, harta dan maruah diri seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu dan membayar zakat. Hak ini terus terjamin kecuali kalau dia mengabaikan hak-hak tuntutan lslam.
4. Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang mengingkari solat serta enggan membayar zakat. Juga menghukum setiap Muslim yang melanggar hak-hak tuntutan Islam yang lain seperti berzina, mencuri dan sebagainya.
5. Allah yang melakukan perhitungan terhadap setiap hambanya. Sekiranya dia seorang mukmin yang benar dalam tunduk dan patuh serta taat perintah Allah, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Sekiranya dia seorang pendusta, maka dia akan berada di dalam neraka.