Sedekah Mengerat Hubungan Kerabat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ و قَالَ الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Dari Salman bin ‘Amir, sesungguhnya Nabi SAW, baginda bersabda: “Jika kalian berbuka maka berbukalah dengan buah kurma kerana buah kurma mengandungi keberkahan, jika kalian tidak mendapatinya, maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu suci.” Baginda juga bersabda: “Sedekah kepada orang miskin hanyalah sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat akan mendapatkan dua (pahala) iaitu pahala sedekah dan menyambung silaturahim. (HR Tirmizi No: 594) Status: Hadis Hassan

Pengajaran:

1. Jika kita berpuasa, sunat berbuka dengan kurma terlebih dahulu kerana pada buah korma ada keberkahan antaranya dari aspek kesihatan Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan glukosa sekitar 55% juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma juga mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.

2. Jika tiada kurma, berbukalah terlebih dahulu dengan air sebelum makan makanan lain.

3. Amalan bersedekah adalah dituntut kepada setiap Muslim khususnya bersedekah kepada kaum kerabat (saudara mara).

4. Sedekah kepada ahli keluarga akan mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.

5. Jangan sampai sedekah kita sia-sia. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

وَقَالَ:”يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لا يَقْبَلُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَدَقَةً مِنْ رَجُلٍ وَلَهُ قَرَابَةٌ مُحْتَاجُونَ إِلَى صَدَقَتِهِ، وَيَصْرُفُهَا إِلَى غَيْرِهِمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ”

“Wahai umat Muhammad, demi Allah yang telah mengutusku dengan kebenaran, Allah tidak akan menerima sedekah seseorang yang mempunyai kerabat yang memerlukan bantuannya, sementara ia memberikan sedekah atau bantuan itu kepada orang lain. Dan demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamannya, Allah tidak akan memandangnya di hari kiamat nanti”. (HR. Thabrani No: 1252)

Eratkan perhubungan dengan kerabat terdekat melalui amalan menderma kepada kerabat (saudara mara terdekat) yang memerlukan.

Leave a Reply