Sedekah Mengerat Hubungan Kerabat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ و قَالَ الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Dari Salman bin ‘Amir, sesungguhnya Nabi SAW, baginda bersabda: “Jika kalian berbuka maka berbukalah dengan buah kurma kerana buah kurma mengandungi keberkahan, jika kalian tidak mendapatinya, maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu suci.” Baginda juga bersabda: “Sedekah kepada orang miskin hanyalah sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat akan mendapatkan dua (pahala) iaitu pahala sedekah dan menyambung silaturahim. (HR Tirmizi No: 594) Status: Hadis Hassan

Pengajaran:

1. Jika kita berpuasa, sunat berbuka dengan kurma terlebih dahulu kerana pada buah korma ada keberkahan antaranya dari aspek kesihatan Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan glukosa sekitar 55% juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma juga mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.

2. Jika tiada kurma, berbukalah terlebih dahulu dengan air sebelum makan makanan lain.

3. Amalan bersedekah adalah dituntut kepada setiap Muslim khususnya bersedekah kepada kaum kerabat (saudara mara).

4. Sedekah kepada ahli keluarga akan mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.

5. Jangan sampai sedekah kita sia-sia. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

وَقَالَ:”يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لا يَقْبَلُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَدَقَةً مِنْ رَجُلٍ وَلَهُ قَرَابَةٌ مُحْتَاجُونَ إِلَى صَدَقَتِهِ، وَيَصْرُفُهَا إِلَى غَيْرِهِمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ”

“Wahai umat Muhammad, demi Allah yang telah mengutusku dengan kebenaran, Allah tidak akan menerima sedekah seseorang yang mempunyai kerabat yang memerlukan bantuannya, sementara ia memberikan sedekah atau bantuan itu kepada orang lain. Dan demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamannya, Allah tidak akan memandangnya di hari kiamat nanti”. (HR. Thabrani No: 1252)

Eratkan perhubungan dengan kerabat terdekat melalui amalan menderma kepada kerabat (saudara mara terdekat) yang memerlukan.

Jangan Saling Bermusuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Dari Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari” (HR Bukhari No: 5605) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1. Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2. Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Dari Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh” (HR Bukhari No: 6651) Status: Hadis Sahih

3. Muslim boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan

4. Elakkan diri dari tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Dari Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: ‘Dan bagimu kebaikan yang sama.’ (HR Muslim No: 4912) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan tidak akan tertolak. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

“Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak” (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita mendoakan sahabat kita dengan kebaikan. Moga malaikat juga mendoakan yang sama untuk kita.

Halal Haram dan Syubhat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari No: 52) Status: Hadits Sahih

Pengajaran:

1. Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.

2. Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.

3. Banyak melakukan syubhat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.

4. Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubhat . Pertanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubhat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.

5. Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

6. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.

7. Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.

Kehormatan Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوا ذلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ

Dari Ibnu Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT. (HR Bukhari No:25) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Misi kedatangan Rasulullah SAW ialah menyebarkan risalah lslam sehingga tertegak aqidah lslam. Usaha dakwah perlu diteruskan oleh setiap Muslim kepada seluruh manusia.

2. Orang yang telah memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah, menjadi kewajipan mereka untuk mendirikan solat dan mengeluarkan zakat serta beriltizam dengan hak dan tanggungjawab seorang Muslim.

3. lslam menjamin hak pemeliharaan dan perlindungan darah, harta dan maruah diri seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu dan membayar zakat. Hak ini terus terjamin kecuali kalau dia mengabaikan hak-hak tuntutan lslam.

4. Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang mengingkari solat serta enggan membayar zakat. Juga menghukum setiap Muslim yang melanggar hak-hak tuntutan Islam yang lain seperti berzina, mencuri dan sebagainya.

5. Allah yang melakukan perhitungan terhadap setiap hambanya. Sekiranya dia seorang mukmin yang benar dalam tunduk dan patuh serta taat perintah Allah, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Sekiranya dia seorang pendusta, maka dia akan berada di dalam neraka.

Perintah dan Larangan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak bertanya dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” (HR Bukhari No: 6777) Status: Hadits Sahih

Pengajaran:

1. Setiap muslim mestilah menjauhi semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2. Setiap Muslim mestilah melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan dengan semampu yang boleh. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara’ iaitu kerana uzur atau sakit

3. Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Dilaksanakan sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan.

4. Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah suruhan dan larangan para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

5. Larangan banyak bertanya dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah, atau pertanyaan berbentuk mempersendakan atau menghina serta masaalah yang tidak berlaku.

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Seorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

2. Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral.

3. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika membawa kepada dosa dan maksiat. Ia merupakan pertanda kelemahan iman.

4. Antara perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, menulis serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala. Termasuk juga menghabiskan masa bermain game, saja duduk di kedai kopi, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau suka menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif.

5. Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah pembangunan umat.

6. Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.

Larangan Berzina Membunuh dan Murtad

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ رَضِىَ الله عَنْه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: الثَّيْبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ

Daripada lbnu Mas’ud RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah (Tiada Tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah) kecuali disebabkan salah satu daripada tiga perkara; janda yang berzina, nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri daripada jamaah (murtad). (HR Bukhari No: 6484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah, itu bermakna terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Tidak boleh sesiapa menumpahkan darahnya termasuk dirinya sendiri.

2. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.

3. Tiga sebab yang membatalkan penjagaan dan pemeliharaan terhadap darah, jiwa dan maruahnya iaitu apabila dia:

a. Berzina setelah berkahwin
b. Membunuh dengan sengaja tanpa hak
c. Murtad atau sengaja meninggalkan agama

4. Sesungguhnya agama yang disepakati adalah yang dipegang oleh jamaah kaum muslimin, maka wajib dijaga dan tidak boleh keluar darinya.

5. Islam mengajar betapa pentingnya menjaga kehormatan dan kesucian agama, diri, keluarga dan masyarakat.

Amalan Masuk Syurga dan Terhindar Neraka

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ أَعْمَلُهُ يُدْنِينِي مِنْ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُنِي مِنْ النَّارِ قَالَ تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ وَتَصِلُ ذَا رَحِمِكَ

Dari Abu Ayyub dia berkata, “Seorang laki-laki mendatangi Nabi SAW, seraya bertanya, ‘Tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan aku dari neraka? ‘ Baginda menjawab: ‘Kamu menyembah Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung silaturahim dengan keluarga.” (HR Muslim No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Amalan yang mendekatkan seseorang ke syurga dan menjauhkannya dari Neraka:

a. Beribadat kepada Allah

b. Tidak melakukan syirik

c. Mendirikan solat fardhu dan memeliharanya

d. Mengeluarkan zakat

e. Menyambung silaturahim dengan ahli keluarga

Berusahalah melakukan ibadat kerana Allah, menjauhi perbuatan syirik, menjaga solat waktu, menunaikan zakat serta menyambung silaturahim antara ahli keluarga. Moga kita dijauhkan dari api neraka dan masuk ke syurga.

Beradab Ketika Minum dan Kencing

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

عن عبد الله بن أبي قتادة عن أبيه قال قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَتَنَفَّسْ فِي الْإِنَاءِ وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَإِذَا تَمَسَّحَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ

Daripada Abdullah bin Abi Qatadah dari ayahnya ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian minum, maka janganlah bernafas di tempat air minum tersebut, dan apabila salah seorang dari kalian kencing maka janganlah menyentuh kemaluannya dengan tangan kanan, namun apabila salah seorang dari kalian harus menyentuhnya, hendaknya tidak menyentuh dengan tangan kanannya.” (HR. Bukhari No: 5199) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang mendidik umatnya agar sentiasa berakhlak dan beradab mulia

2. Antara adab yang perlu dilakukan:

a. Tidak bernafas di dalam gelas atau cawan ketika minum

b. Elakkan memegang kemaluan dengan tangan kanan ketika membuang air kecil

c. Tidak beristinjak menggunakan tangan kanan

Semoga adab dan akhlak kita sentiasa terpelihara