Jiran Tetangga

KEPERLUAN BERBUAT BAIK DENGAN JIRAN TETANGGA

Berbuat Baik Kepada Jiran

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Dari Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Jibril sentiasa mewasiatkanku untuk berbuat baik terhadap tetangga sehingga aku mengira tetangga juga akan mendapatkan harta waris.” (HR Bukhari No: 5556) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam menuntut umatnya agar sentiasa berbuat baik dan menghormati orang lain khususnya jiran tetangga.

2. Syaikh Abu Muhammad bin Abi Jamrah dalam Fathul Baari (X/456) mengatakan: terlaksananya wasiat berbuat baik kepada tetangga dengan menyampaikan beberapa bentuk perbuatan baik kepadanya sesuai dengan kemampuan seperti saling berhadiah, memberi salam, berwajah yang berseri-seri ketika bertemu, mengambil tahu keadaannya, membantunya dalam hal yang ia memerlukan, serta menahan sesuatu yang boleh mengganggunya.

3. Ibnu Hajar menyebutkan, berbuat baik kepada tetangga itu mencakupi yang muslim dan juga yang kafir, ahli ibadah dan orang fasik, teman dan lawan, orang asing dan penduduk tempatan, yang memberi manfaat dan yang memberi mudarat, kerabat dekat dan jauh, rumah yang paling dekat dan paling jauh.

Moga kita sentiasa berbuat baik dan prihatin kepada jiran tetangga. Bersama kita membina masyarakat rahmah.

Mengutamakan Jiran Terdekat

أَبُو عِمْرَانَ قَالَ سَمِعْتُ طَلْحَةَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي جَارَيْنِ فَإِلَى أَيِّهِمَا أُهْدِي قَالَ إِلَى أَقْرَبِهِمَا مِنْكِ بَابًا

Abu ‘Imran berkata; Aku mendengar Tolhah bin Abdullah dari ‘Aisyah radliallahu ‘anha ‘ Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, aku punya dua tetangga, kepada siapa dari keduanya yang paling berhak untuk aku beri hadiah?” Baginda bersabda: “Kepada yang paling dekat pintu rumahnya darimu”.(HR Bukhari No: 2099) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berbuat baik dengan jiran melalui pemberian dan saling berhadiah contohnya dalam bentuk makanan dan buahan.

2. Saling berhadiah akan mengikat ukhuwah dan kasih sayang

3. Berilah hadiah pada jiran yang paling berhak iaitu yang paling hampir dengan rumah kita.

Jika kita memiliki limpahan rezeki, jangan lupa menghadiahkan sedikit kepada jiran tetangga. Moga sifat rahmah yang ada pada kita akan menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni.

#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa Inggeris? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD

Leave a Reply