Meminta Pertolongan

KEPADA SIAPA KEUTAMAAN SEHARUSNYA DILETAKKAN OLEH MANUSIA?

Pertolongan dan Penjagaan Allah

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً فَقَالَ : يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اْحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَاعْلَمْ أَنَّ اْلأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ رُفِعَتِ اْلأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفِ

Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, RA beliau berkata: pada suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan mendapati Dia bersamamu. Apabila engkau meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan mampu memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana keatasmu, nescaya mereka tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepada kepadamu kecuali dengan sesuatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Telah diangkat qalam dan lembaran- lembaran telah kering (dakwatnya). (HR Tirmizi no. 2516) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.

2. Segala permintaan, mohon pertolongan dan perlindungan hendaklah hanya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Tidak ada makhluk atau Tuhan lain yang mampu menolong dan melindungi manusia kecuali Allah SWT jua.

3. Segala apa yang berlaku dan menimpa manusia adalah ketetapan Allah SWT, bukannya kerana sebab dan usaha manusia. Manusia tidak berkuasa untuk memberi manfaat atau memberi mudarat kepada mana-mana hamba, walaupun seluruh manusia dan jin berhimpun untuk bekerjasama melakukannya.

4. Manusia tidak akan mengalami musibah kecuali berdasarkan ketetapan Allah SWT . Orang yang selalu bersyukur akan mendapat perhatian, pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

5. Umat lslam mestilah yakin bahawa kemenangan akan tercapai dengan adanya kesabaran, setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan.

#Semarak Ukhuwah Memacu Perubahan#
#Malaysia Menuju Negara Rahmah#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

23hb Februari 2019
18hb Jamadil Akhir 1440

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa Inggeris? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD

Leave a Reply